Adopt Our Butterfly! HELP our butterfly farming in this hour of crisis, let love be contagious and provide energy for all well-being! Adopt Now!
Cart 0

Covid-19: Pembiakan Rama-rama Turut Terjejas

Berita Bernama

Penularan pandemik Coronavirus (Covid-19) telah menjejaskan kehidupan masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Rata-rata masyarakat diarahkan untuk kekal berada di rumah, dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

Meskipun penularan wabak ini semakin meningkat di segenap tempat, namun dunia bagaikan tidak berubah bagi penjaga hidupan liar di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS). Mereka tidak pernah menjadikan pandemik ini sebagai satu halangan untuk terus berbakti kepada hidupan liar, malah menganggap ini adalah satu cabaran untuk membuktikan rasa cinta mereka kepada haiwan. 

Di sini, kebajikan semua haiwan amatlah dititikberatkan termasuklah serangga, katak, cicak, burung, ular, buaya dan pelbagai spesies lain. Disaat semua masyarakat memilih untuk berada di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan memastikan keselamatan diri masing-masing terjamin, penjaga hidupan liar disini memilih untuk menyumbang kepada hidupan liar meskipun terpaksa menempuh beberapa sekatan jalan raya serta merisikokan diri mereka yang berkemungkinan terdedah kepada virus ini.

   

Semua haiwan disini perlu diberikan penjagaan yang maksima, dengan penelitian dari segi pemakanan dan kesihatan. Bagaikan pasangan yang saling melengkapi, seluruh haiwan tersebut bergantung hidup kepada penjaga mereka untuk kekal sihat dan aktif. Tidak terbatas dengan penguatkuasaan PKP, haiwan-haiwan tersebut tetap meneruskan norma kehidupan seperti biasa; ada diantara mereka yang berterusan membiak, membina sarang, mengeramkan telur, ada yang keluar dari kepompong, malah sepanjang tempoh PKP ini sahaja terdapat kelahiran beberapa spesies haiwan direkodkan di sini. Segalanya hasil kerja keras dari semua penjaga hidupan liar di sini. Menjadi satu kebanggaan kepada Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka kerana memiliki pasukan penjaga hidupan liar yang sangat komited dan ikhlas dalam menjalankan tugas.

our farmers.jpg

Walau bagaimanapun, disebalik kejayaan penjaga-penjaga haiwan tersebut dalam menguruskan hidupan liar, terselit juga bebanan berat bagi mereka kerana terpaksa menguruskan tanggungjawab kerja yang lebih banyak berbanding biasa. Ini kerana bilangan penjaga hidupan liar di sini terpaksa dikurangkan dan ada diantara mereka yang hanya dijadualkan bergilir-gilir, bagi menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh MBRS sepanjang penularan wabak ini. Perkara ini sangatlah perlu memandangkan semenjak bermulanya tempoh PKP, taman zoologi swasta ini telah kehilangan sumber pendapatan sehingga mencecah sifar keuntungan. Malah, sepanjang PKP ini sahaja, Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka telah menghadapi kerugian sebanyak RM 300,000.


Seperti sebelum ini, Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka mencipta nama dengan kejayaan mereka menyelidik dan membiakkan lebih daripada seratus spesies rama-rama dan serangga. Makmal pembiakan rama-rama di MBRS berjaya membiakkan lebih 200,000 ekor rama-rama setiap tahun di mana 10 peratus daripadanya akan dilepaskan ke kawasan persekitaran sebagai sumbangan kepada program konservasi alam sekitar. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Kejayaan tersebut bagaikan terhenti buat seketika apabila seluruh dunia dilanda wabak Covid-19 ini. Makmal pembiakan rama-rama di sini terpaksa melupuskan lebih daripada 3000 ulat beluncas dari pelbagai spesies rama-rama disebabkan kekangan yang dihadapi ketika penularan wabak ini, dimana ada di antara spesies tersebut telah dibiakkan sejak lebih 10 tahun yang lepas. Pilihan tersebut dirasakan adalah yang terbaik meskipun terpaksa menghapuskan hasil usaha keras seluruh kakitangan makmal selama ini kerana MBRS perlu mengehadkan kuantiti ulat beluncas, sekali gus dapat meminimakan penggunaan pokok perumah bagi ulat beluncas tersebut dan dapat mengurangkan bilangan pekerja makmal yang bekerja. Hal ini penting bagi menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh taman zoologi swasta ini sepanjang kemelesetan ekonomi yang berlaku kesan daripada penularan Covid-19.


Manakala ulat beluncas pula dipilih untuk dihapuskan dan tidak dilepaskan ke persekitaran kerana kesemua ulat beluncas tersebut adalah hasil pembiakan di dalam makmal sepenuhnya, berkemungkinan akan memberi kesan sampingan kepada kawasan persekitaran sekiranya dilepaskan. Selain itu, ulat beluncas bagi setiap spesies rama-rama memerlukan jenis pokok perumah yang berbeza. Andainya kesemua ulat beluncas tersebut dilepaskan keluar, kemungkinan untuk mereka terus hidup dan menjadi rama-rama amat rendah memandangkan pokok perumah bagi setiap spesies adalah sangat terhad dan sukar dijumpai di kawasan sekitar. Manakala di MBRS, kesemua pokok perumah tersebut di tanam dan dijaga dengan rapi disini. Malah, MBRS menjadi sumber kepada pokok-pokok perumah bagi mengekalkan spesies rama-rama dan serangga yang jarang dijumpai dan sangat bermanfaat bagi biodiversiti negara kita. Berat untuk berbuat demikian, namun kesemua kakitangan makmal rama-rama disini berharap penularan wabak Covid-19 ini akan menemui penghujung supaya mereka dapat kembali bekerja keras membiakkan rama-rama bagi tujuan konservasi serta pendidikan kepada masyarakat kita.


Sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP yang telah masuk ke fasa ketiga ini, penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILIITAN) kerana sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan secara konsisten kepada semua taman zoologi, termasuklah di sini. Kepada semua penjaga hidupan liar dan kakitangan makmal pembiakan, baik di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka mahupun diseluruh taman zoologi di Malaysia, syabas di atas semua usaha murni kalian demi menjaga kebajikan hidupan liar. Seiring dengan Jabatan PERHILITAN, kalianlah pekerja barisan hadapan dalam menjaga seluruh haiwan di Malaysia. Bagi membela nasib seluruh rama-rama serta hidupan liar di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, individu yang berminat boleh membantu dengan membuat pembelian kepompong rama-rama yang sebenar yang telah dibiakkan di makmal pembiakan rama-rama disini secara atas talian (di sini), selain dapat merasai sendiri pengalaman menyaksikan proses rama-rama keluar dari kepompong.

Collections - Pupa Jar i.jpeg